Thursday, January 28, 2010

Nik Aziz dah bertindak, pemimpin lain tunggu apa lagi.


Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz beramah mesra dengan ketua-ketua Sami Buddha dan juga ketua-ketua agama lain dalam majlis perjumpaan dengan ketua-ketua agama di Kota Bahru hari ini. Perjumpaan itu turut dihadiri Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia, K. Kamalanathan dan Ketua Kesatuan Agama Kristian Malaysia, Bishop Ng Moon Hing. - Bernama.

Pemimpin-pemimpin lain tungga apa lagi. Berbaik dengan ketua-ketua agama tidak merugikan mana-mana pihak. Jangan dok bakaq gereja. Jangan dok baling kepala babi kat masjid. Jangan dok pijak kepala lembu. Tindakan hangpa tidak mencerminkan manusia yang bertamadun.

Kita haruslah mengatasi masalah berkaitan agama dengan cara berdiplomasi sesama kita lebih baik daripada menunjukkan kekuatan dan kehebatan yang boleh menghancurkan negara kita sendiri. Jangan tunggu sampai ke jalan buntu, barulah terpikiaq nak berbaik-baik sesama pemimpin agama.

Semua penganut daripada pelbagai agama inginkan keamanan. Oleh itu, marilah kita cari persamaan ini untuk dilaksanakan. Jangan asyik cari perbezaan untuk kita bertegang tekak. Ia akan merugikan semua pihak. Berfikirlah ke arah kebaikan wahai pemimpin-pemimpin ku.

Thursday, January 21, 2010

Detik bersejarah pembukaan pintu sempadan Kota Putra.

Semalam merupakan detik bersejarah perasmian pembukaan pintu sempadan Malaysia - Thailand Kota Putra di Durian Burung, Padang Terap, Kedah.

Aku bertolak dari pejabat jam 8.00 pagi bersama-sama seorang kawan untuk menyaksikan majlis perasmian pembukaan pintu sempadan tersebut. Pada mulanya aku sangkakan majlis tersebut hanya dilakukan secara biasa sahaja.

Rupa-rupanya majlis tersebut agak ramai juga dari kalangan kakitangan kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat/politik dan orang ramai daripada kedua-dua buah negara hadir untuk menyaksikan detik bersejarah tersebut.

Tetapi sayangnya, aku langsung tidak nampak kelibat 3 orang wakil rakyat di daerah Padang Terap iaitu 2 ADUN dari BN dan seorang ahli Parlimen dari PAS ke majlis bersejarah tersebut. Seolah-olah majlis tersebut tiada makna bagi mereka yang juga merupakan wakil rakyat di daerah Padang Terap.

Pembukaan pintu sempadan tersebut dirasmikan oleh Yang Mulia Datuk Raja Azahar Bin Raja Abdul Manaf, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri mewakili Menteri Dalam Negeri bagi pihak Kerajaan Malaysia. Di pihak Thailand pula, dirasmikan oleh Mr. Winyu Thongsakul, Gabenor Wilayah Songkhla dan disaksikan oleh Mr. Thawon Senniam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand.

Lebih kurang 2,000 orang hadir ke majlis tersebut.

Tuesday, January 19, 2010

Pintu Sempadan Malaysia - Thailand di Durian Burung akan dibuka secara rasminya esok.


Pada 20 Januari 2010, pintu sempadan Malaysia - Thailand akan dibuka secara rasminya esok. Pintu sempadan tersebut terletak di Kampung Durian Burung, Daerah Padang Terap, Kedah yang dikenali sebagai Kota Putra. Pembangunan Bandar Sempadan Kota Putra berkonsepkan agro-pelancongan dan pertanian berskala besar dan komersial, di samping mewujudkan bandar sempadan kedua di negeri Kedah selepas Bukit Kayu Hitam.

Projek Kota Putra telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kedah pada 21 November 1998. Projek ini adalah sebahagian Pelan Struktur Daerah Padang Terap 2002 - 2012 yang dijangka akan memacu pembangunan daerah Padang Terap.

Kota Putra telah diwartakan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1 Mei 2003 sebagai Pos Kawalan Imigresen dan Pintu Masuk yang dibenarkan bagi maksud kemasukan ke Malaysia. Projek ini telah diterima sebagai satu projek 'Joint Development Strategy' Malaysia - Thailand pada ogos 2004.

Aku difahamkan di sebelah Thailand sudah siap iaitu di Ban Pra Korb (kampung Pra Korb), daerah Nathawi, Wilayah Songkhla, Thailand. Di sana adalah satu kawasan penempatan lebih kurang 3,000 orang penduduk. Semua prasarana sudah ada termasuk pondok polis dan klinik. Mereka hanya keluar modal tak besar, cuma letak 2 kontena di kedua-dua belah jalan untuk cop passport atau pass sempadan.

Kos projek Pintu Sempadan Kota Putra ini ialah RM95.3 juta dan akan dibuka secara rasminya esok. Ini merupakan salah satu lagi bukti kejayaan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan di Negeri Kedah. Harap ada lagi projek-projek kerajaan Persekutuan sebegini di negeri Kedah walaupun negeri Kedah di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Sultan puji shafie kritik, biasa la politik.


Sebelum ini Sultan Kedah memuji pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Ustaz Azizan kerana berjaya menaikkan taraf hidup rakyat Kedah yang berpendapatan rendah tanpa mengira kaum dan agama.

Semalam Shafie Afdal mengkritik pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dan mengatakan sejak pentadbiran Pakatan Rakyat di Kedah tiada projek pembangunan baru untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Kedah makin mundur di bawah Pakatan Rakyat.

"Kerajaan Negeri Kedah tiada dasar baru dalam sektor ekonomi, termasuk perancangan dan strategi yang jelas untuk memajukan ekonomi negeri diperkenalkan. Yang ada hanya slogan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua' yang tiada hala tujunya", menurut Shafie Afdal.

Aku pun tau Datuk Seri, memang takdak pembangunan di Kedah sejak kebelakangan ini. Projek yang dijalankan pun dirancang semasa pentadbiran kerajaan BN lagi. Kerajaan PR lebih kepada pembangunan minda untuk menarik sokongan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan PR. Ini dikatakan peperangan minda menakluk hati rakyat. Walaupun kerajaan negeri serba kekurangan tetapi sokongan rakyat semakin meningkat.

Jika pemimpin BN negeri Kedah gagal membaca minda rakyat Kedah, aku rasa sukar juga BN nak ambil balik kerajaan negeri daripada PR. Datuk Seri selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah masih ada ruang untuk Datuk Seri selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah mengambil hati rakyat dan menakluki semula hati rakyat Kedah untuk kembali menyokong BN.

Rancanglah projek pembangunan baru untuk rakyat Kedah melalui kementerian Datuk Seri. Cubalah ambik hati rakyat Kedah dengan menjadi Juara Rakyat di Kedah. Sebelum ini PM mengumumkan peruntukan lebih RM15 juta untuk menjadi Juara Rakyat di Selangor untuk projek membaiki bumbung flat di Selangor. Aku rasa Datuk Seri juga mampu menjadi Juara Rakyat di Kedah.

Datuk Seri jangan lupa bahawa BN bukan hanya jadi pembangkang di Kedah tetapi BN masih menjadi kerajaan di peringkat Pesekutuan. BN masih mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk projek pembangunan rakyat.

Aku harap, semua pemimpin BN Kedah jangan hanya lihat kemampuan PR secara luaran sahaja. Teknik PR telah meresap hingga ke minda setiap rakyat Kedah. Inilah yang perlu pemimpin BN fahami teknik perang psikologi PR dan cubalah mencari idea untuk menghadapinya.

Abaikanlah politik berpuak-puak dalam UMNO. Aku percaya Datuk Seri boleh lakukannya demi menaikkan kembali martabat UMNO Kedah.

Monday, January 18, 2010

Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah Dipuji Sultan Kedah.


Corak pentadbiran Kerajaan negeri Kedah yang baik di bawah pimpinan menteri besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum dipuji oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'Adzam Shah pada titah ucapan baginda sempena menyambut Hari keputeraan ke-82 di Istana Anak Bukit, semalam.

Pada majlis itu baginda turut menyampaikan anugerah darjah dan bintang kebesaran Negeri Kedah kepada 72 penerima termasuk mengurniakan Jaksa Pendamai (JP) kepada Menteri Besar Kedah dan Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Seorang menteri Kerajaan Persekutuan iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom (UMNO) dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff (UMNO) juga dianugerahkan darjah dan pingat kebesaran Negeri Kedah.

Datuk Paduka Badrudin Amirudin (Pengerusi Tetap UMNO Malaysia) dan Dato' Tajul Urus Mat Zain (Ketua UMNO Bahagian Merbok) juga dianugerah pingat Jaksa Pendamai (JP).

Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Kedah tidak memilih bulu dalam pemberian pingat. Beberapa pemimpin UMNO juga disenaraikan penerima pingat sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah ke 82.

Kebiasaannya kerajaan mana memerintah maka pemimpin atau ahli parti komponen kerajaan tersebut akan dicalonkan menerima darjah dan bintang kebesaran negeri. Ketelusan kerajaan negeri Kedah yang diketuai oleh Ustaz Azizan wajar dipuji oleh Tuanku Sultan Kedah.

Tetapi kita juga tidak harus lupa bahawa semasa pemerintah kerajaan BN di Kedah semasa era Tan Sri Sanusi Yunid sebagai Menteri Besar, Allahyarham Fadzil Nor (Presiden PAS) juga diberi anugerah darjah dan bintang kebesaran Negeri Kedah yang membawa gelaran 'Dato'.

Wednesday, January 13, 2010

Pemimpin Pakatan Rakyat banyak bercakap di belakang.


Menteri Besar Kedah membidas ahli-ahli Majlis PBT kerana kebanyakkannya tidak menyuarakan pandangan dalam mesyuarat tetapi suka membuat kenyataan menerusi media. Beliau membidas golongan ini semasa berucap di Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah Penggal 2010-2011 di Wisma Darul Aman semalam.

Nampaknya para pemimpin PR juga bercakaran sesama sendiri tetapi anehnya mereka tidak berani bersuara melalui mesyuarat. Mereka memilih meluahkan melalui media perkara-perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat. Maklumlah akhbar Sinar Harian melayan semua karenah ahli-ahli politik, tidak kira dari kem BN atau PR. Bagaimana nak menyuarakan pandangan rakyat sekiranya tidak berani bercakap dalam mesyuarat?

Ini membuktikan ahli-ahli majlis PBT di bawah kerajaan negeri sekarang lebih teruk daripada bekas ahli-ahli Majlis PBT di bawah kerajaan BN sebelum ini. Kerana tidak puashati orang kuatnya tidak dilantik semula sebagai ahli PBT maka mulalah membuat hal. Sehingga ada ugut-ugut hendak meletak jawatan sebagai ADUN atau jawatan dalam kerajaan negeri.

Asyik mengata orang, diri sendiri yang lebih.

Masalah air: JBAK dikorporatkan kepada Sada Sdn. Bhd.

Sejak kebelakangan ini, rata-rata rakyat Kedah menyatakan perasaan tidak puashati tentang masalah bekalan air. Ada yang mengatakan buka paip air keluar lumpur, buka paip air keluar angin dan buka paip air langsung tak keluar apa.

Dalam musim kemarau macam ni pula, air sangat penting untuk kegunaan harian. Pihak terbabit asyik menuduh antara satu sama lain. Masalah ini juga tidak dapat diselesaikan. Kerajaan negeri kata ini masalah lama kerajaan BN dulu. Pemimpin BN pula berkata kerajaan PR tidak harus menyalahkan pihak lain. Mereka diminta lebih tertumpu kepada perkhidmatan kepada rakyat Kedah.

Mulai 1 Januari 2010, Jabatan Bekalan Air Kedah (JBAK) telah dikorporatkan kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. YAB Datuk Seri Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah merupakan Pengerusi Sada Sdn. Bhd. Beliau telah melantik bekas Pegawai Daerah Sik, Adzmi Din sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sada Sdn. Bhd.

Ekoran pengkorporatan JBAK ini telah menimbulkan rasa khuatir di kalangan rakyat Kedah mengenai kemungkinan tarif air akan naik. YAB Menteri Besar membuat penjelasan bahawa mereka belum membuat apa-apa keputusan berhubung kenaikan tarif air selepas pengkorporatan JBAK.

Orang ramai berharap agar Sada Sdn. Bhd. dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik bagi menyediakan bekalan air kepada rakyat Kedah. Mereka juga berharap agar tarif air tidak dinaikkan sewenang-wenangnya tanpa memikir kemampuan rakyat negeri Kedah.

Jawatankuasa Pemandu Pengkorporatkan JBAK telah diadakan di Hotel Sandy Paradise, Pulau Pinang pada 12 - 14 November 2009. Mesyuarat tersebut dipengerusikan Bahagian Sumber Manusia. Antara yang hadir ialah Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Buruh Kedah dan Jabatan Kewangan Negeri. Akhirnya JBAK dikorporatkan mulai 1 Januari 2010 kepada Sada Sdn. Bhd.

Monday, January 11, 2010

Bolehkah UMNO kekalkan kesetiaan masyarakat Siam?


Tidak boleh dinafikan selama ini masyarakat Siam kekal setia terhadap UMNO. Mereka tak kisah macam mana layanan UMNO terhadap mereka. Mereka tetap akan setia terhadap UMNO dulu, kini dan selama-lamanya. Ini kerana masyarakat Siam tidak mempunyai parti sendiri kecuali melalui UMNO sahaja yang sudi menerima keahlian daripada masyarakat Siam sejak era Tunku Abdul Rahman lagi.

Semasa zaman Tunku, hal ehwal masyarakat Siam sentiasa dijaga. Malah masyarakat Siam juga dimasukkan dalam undang2 tanah negeri Kedah yang membenarkan memiliki Tanah Rizab Melayu. Masyarakat Siam dilayan sama seperti kaum Bumiputera di negeri Kedah. Dalam keputusan pilihanraya pula, kebanyakan DUN yang terletak di kawasan penempatan masyarakat Siam akan dianggap selamat antaranya DUN Sg. Tiang, Pedu, Belantik, Jeneri, Bayu, Kupang, Jitra, Kuala katil, Sidam Kiri, Bukit Selambau dan Bukit Kayu Hitam.

Pada masa sekarang, bolehkah UMNO dapat mengekalkan kesetiaan masyarakat Siam terhadap UMNO/BN?

Apakah perancangan UMNO terhadap masyarakat Siam? Sebelum ini MB Kedah melantik Pegawai Khas dari kalangan orang Siam tetapi dibantah masyarakat Siam kerana bukan calon yang dipilih oleh masyarakat Siam itu sendiri. Kerajaan BN juga telah mewujudkan Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam juga tidak dipersetujui oleh kebanyakkan masyarakat Siam kerana EXCO yang dilantik menjaga orang-orang Siam bukannya orang UMNO. Kenapa UMNO jijik sangat hendak menjaga orang-orang Siam sedangkan orang-orang Siam kebanyakannya adalah ahli UMNO? Kenapa suara orang-orang Siam tidak didengari oleh pemimpin UMNO?

Sekarang kerajaan negeri telah dipegang oleh Pakatan Rakyat sejak PRU 12. Kerajaan PR cuba sedaya upaya mendekati masyarakat Siam. Walaupun mereka tahu bahawa orang-orang Siam tak sokong mereka semasa PRU ke 12 tetapi mereka tidak berdendam malah cuba mendekati. Usaha pertama semasa menjadi MB Kedah, Ustaz Azizan telah mengadakan program di Wat Paya Mak Inson bersama Ketua Sami Negeri Kedah. Mereka membuat kalender dengan memuatkan gambar MB Kedah bersama Ketua Sami Kedah Perlis.

Aku tak nafikan, usaha Pakatan Rakyat sedikit sebanyak mewujudkan keyakinan kepada masyarakat Siam terhadap parti tersebut. Tidak mustahil sekiranya para PRU ke 13, majoriti masyarakat Siam akan menyokong Pakatan Rakyat. Masyarakat Siam juga telah menubuhkan Persatuan Siam Kedah sebagai medium penghubung antara masyarakat Siam dengan kerajaan. Aku rasa penerima UMNO/BN nampak sepi terhadap pengwujudan NGO tersebut. Seolah-olah masyarakat Siam macam golongan primitif. Bagi gula-gula sikit mereka tetap akan sokong. Anggapan tersebut akan menjerat UMNO itu sendiri. Sekarang kebangkitan kaum bukan Melayu tidak boleh disekat lagi.

Aku harap UMNO/BN cepatlah bertindak. Jika tidak, kesetiaan yang diberi selama ini akan bertukar menjadi kebencian buat selama-lamanya. Sila baca isi hati masyarakat Siam yang diluahkan di dalam forum pekemas atau blog politik siam.

Sunday, January 10, 2010

Siapa JUARA di mata rakyat?

Baru-baru ini PM telah melancarkan Program Juara Rakyat di Bandar Bukit Sentosa, Selangor bagi mengambil hati rakyat untuk kembali menyokong BN dalam PRU ke 13. Betul ke, UMNO sanggup menjadi Juara Rakyat? Ini persoalan yang memainkan dalam fikiran aku masa kini.

Sekiranya betul UMNO ingin menjadi Juara Rakyat, UMNO atau BN haruslah berada di barisan hadapan apabila rakyat menghadapi masalah. Bukannya berada di belakang dan mengerahkan rakyat untuk berjuang di barisan hadapan. Apabila rakyat toleh ke belakang, nampak semua dah lari lintang pukang. Hanya tinggal rakyat yang berhadapan dengan masa depan yang tidak menentu. Bagaimana pula sekiranya rakyat menjadi Juara? Boleh tak, rakyat mengkuburkan parti yang tak berkemampuan mewakili rakyat. Apa akan jadi selepas itu?

Aku percaya rakyat masih menaruh harapan tinggi kepada UMNO dan BN bagi menjadi juara mereka dalam pelbagai aspek pembangunan. Bukannya hanya jadi Juara Rakyat 5 tahun sekali berjumpa dengan rakyat apabila adanya pilihanraya. Rakyat perlukan pemimpin yang betul2 ikhlas bukannya disogok dengan habuan ketika kempen pilihanraya. Rakyat mahukan pemimpin yang bekerja berterusan bukannya pemimpin bekerja bermusim.

Kami di Kedah juga perlu UMNO sebagai Juara Rakyat bagi mengambil balik kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat. Bila dilihat suasana sekarang, aku nak bagi gelaran Naib Juara kepada UMNO pun berat. UMNO Kedah cukup lemah, langsung tak proaktif. Masing-masing nak menunjukkan Juara masing-masing tapi bukan Juara berkumpulan tapi Juara berseorangan. Pemimpin UMNO juga tidak menunjukkan sifat seorang pejuang. Kalau tak berjuang, macam mana nak dapat Juara. Lebih2 lagi berjuang untuk rakyat.

Tema "BN menang Kedah senang" pun dah lenyap. Hangat sekejap je semasa kehadiran TPM untuk melancarkan Program 1Malaysia. Lepas tu langsung tak kedengaran "BN menang Kedah senang". Kalau keadaan macam ni, Kedah Menang boleh tukar kepada Kedah Sejahtera buat selama-lamanya.

Bagaimana nak jadi Juara Rakyat, baru2 ni pihak kita nak anjurkan Forum Pembangunan di Kota Seputeh pada 7 Januari pun dihalang oleh orang sendiri?

Wednesday, January 6, 2010

Kerajaan negeri Kedah tuntut kouta 40-60 pengagihan projek KEDA.

Pihak kerajaan negeri Kedah di bawah pemerintahan PR telah meminta 2 jawatan Ahli Lembaga Pengarah KEDA diisi oleh pegawai kerajaan negeri. Sebagai syarat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam pembinaan sebarang projek perumahan KEDA di atas tanah kerajaan negeri Kedah.

Pihak kerajaan negeri Kedah juga menetapkan kouta sebanyak 40 - 60 pengagihan rumah daripada projek perumahan KEDA dan lain-lain projek. Di mana 40% untuk kerajaan negeri dan 60% untuk KEDA.

Pihak KEDA akan mengeluarkan segala kos pembinaan projek tersebut manakala pihak kerajaan akan menyediakan tapak di mana semua tanah di negeri Kedah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tuesday, January 5, 2010

Berhati-hati mengatasi krisis penggunaan kalimah Allah.


Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan membenarkan majalah mingguan, Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya.

Lau Bee Lan, hakim Mahkamah Tinggi membenarkan penerbit majalah itu menggunakan kalimah 'Allah' selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur selaku pemohon.

Lan juga mengistiharkan bahawa keputusan KDN pada 7 Januari 2009 memberikan permit penerbitan kepada Herald dari tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2009 dengan syarat ia dilarang menggunakan perkataan 'Allah' adalah batal dan tidak sah.

Bagaimanapun, keputusan ini dibantah pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu Islam yang mengadakan perhimpunan secara aman di seluruh negara dan meminta campur tangan Majlis Raja-raja.

Aku harap semua pihak berhati-hati dalam mengatasi isu ini. Jangan terlampau mengikut emosi. Isu ini berkaitan agama yang amat sensitif terutamanya agama kristian dan Islam kerana kedua-dua agama ini berkonsepkan ketuhanan. Krisis tidak melibatkan penganut agama Buddha kerana agama Buddha tidak berkonsepkan ketuhanan.

Jika kita tidak berhati-hati, krisis ini boleh merebak dan kemungkinan besar menjadi isu perkauman di Malaysia yang boleh mencetuskan rusuhan kaum. Kita haruslah mengambil pendekatan berunding secara baik bagi mencari titik persamaan agar isu ini dapat diatasi dengan baik tanpa mencetuskan sentimen perkauman di kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang bangsa dan agama.

Jangan sesekali mempolitikkan isu ini. Biarlah pihak yang berkaitan sahaja bertindak untuk mencari jalan penyelesaian. Kita boleh guna isu lain untuk berpolitik tetapi isu berkaitan agama dipolitikkan akan mendatangkan kesan yang amat bahaya sekali.

Lebih baik kita ke meja rundingan untuk mengatasi masalah yang wujud di antara kaum dan agama. Jangan biarkan peristiwa 13 Mei berulang.

Monday, January 4, 2010

MB Kedah: Imej bersih rupanya ada juga yang tak sehaluan.


Rata-rata mengatakan MB Kedah mempunyai imej yang bersih, personaliti yang baik dan mudah didekati serta disukai ramai. Tetapi disebalik imej yang bersih ada juga yang tidak puashati dengan karenah MB Kedah, YAB Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Baru-baru ini, aku dengar desas-desus mengenai ADUN Bandar Baharu ingin meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana tidak sehaluan dengan MB Kedah.

Manakala YB Yaakub Hussein ADUN Bandar Baharu menafikan khabar angin tersebut yang dikatakan berpunca daripada perselisihan pendapat dengan MB Kedah.

Yaakub bagaimanapun mengakui, beliau ada berselisih pendapat dengan Azizan berhubung penamatan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Daerah Bandar Baharu.

Bersih yang disangka rupanya ada pemimpin PAS sendiri yang tak puashati terhadap MB Kedah selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.