Wednesday, May 26, 2010

Berdosakah saya sebagai Siam Malaysia?

BERJAYA DALAM DUKA... (Dari kiri) Syalit Keowmani Eh Sau, Phisnukh Uttraphan Pim, Elicesa Lalitta Ea Chuan, Maleewan Perashot, Sukeht Thavil dan Vicsofee Sukahut Som mendengar penerangan daripada Boon Som Inong (kanan) mengenai kegagalan mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam SPM di Wat Siam Telok Wan Jah, Alor Setar, baru-baru ini.


Dengarlah luahan Vicsofee: "Berdosakah saya sebagai Siam Malaysia?"

BEKAS almarhum Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman ialah seorang berketurunan Siam.

Masyarakat Siam di Malaysia dianggarkan kira-kira 60,000 orang. Kehidupan mereka tertumpu di beberapa negeri utara, iaitu negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand - tanah asal mereka.

Kira-kira 2,000 (bancian 2008) berada di Perak, 6,000 (2008) di Perlis, 30,000 (2007) berada di Kedah dan 13,000 (2008) berada di Kelantan. Menurut ensiklopedia Wikipedia, secara politiknya masyarakat Siam Malaysia dikenali dengan status bumiputera, iaitu status yang sama dengan Melayu, Kadazan-Dusun, Iban dan masyarakat Portugis Melaka.

Mereka juga adalah ahli UMNO dan boleh membuat simpanan dalam saham amanah, ASB dan ASN.

Menurut ensiklopedia itu lagi, kebanyakan masyarakat itu mengamalkan cara hidup Melayu. Ini dibuktikan dalam masyarakat Siam Kelantan. Tiada siapa yang boleh meneka Melayu atau Siam jika mereka bercakap Melayu.

Kitaran masyarakat mereka sedang berkembang, dari segi intelektual dan taraf hidup. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan yang amat menyokong kerajaan BN dan penyokong kuat UMNO.

Mereka boleh menjadi penentu pada sesuatu pilihan raya dalam kawasan yang kosentrasi besar masyarakat itu.

Namun apa yang saya temui mengenai masyarakat ini baru-baru ini amat mengejutkan. Apakah mereka ini tercicir? Apakah mereka ini tidak dipedulikan? Apakah anak-anak mereka yang cerdik dan pandai disisihkan?

Persoalan ini bermain di fikiran saya. Boon Som a/l Inong, rakan saya yang juga bekas wartawan agensi berita asing dan bekas setiausaha akhbar dua Menteri Besar Kedah dan menteri Kabinet, seorang aktivis masyarakat Siam, membawa saya menyelami masyarakat beliau itu.

Sayu saya melihat wajah-wajah anak- anak Siam yang cerdik pandai ini tercicir. Mereka ini adalah aset dan modal insan yang berharga bagi masyarakat itu, khasnya dan negara amnya.

Kanak-kanak ini yang amat bangga menjadi sebahagian rakyat Malaysia, belajar dalam sistem pendidikan negara. Di mana mereka ini sekarang selepas peperiksaan SPM baru-baru ini? Di masa kanak-kanak sebaya mereka bergembira dapat menjejaki ke pusat pengajian tinggi atau ke pusat- pusat matrikulasi, ke mana kanak-kanak Siam ini berada?

Sila lihat senario ini. Ia berlaku dalam negara kita ini dan dalam masyakat kita ini.
1. Vicsofee Sukahut a/p Som 921216-02-5300, SPM 2009 ( 8A 1B), SMK Bandar Baru Darul Aman - tercicir.
2. Sukeht a/p Thavil 920831- 02-5412, SPM 2009 (10A), MRSM Kubang Pasu - tercicir.
3. Maneewan a/p Perashot 920212- 02-5712, SPM 2009 (9A1B), Sekolah Menengah Sains Mohd. Jiwa, Sungai Petani - tercicir.
4. Elicesa Lalitta a/p Ea Chuan 921005-03-5146, SPM2009 (6A2B3C) SMK Tumpat, Kelantan - tercicir.
5. Syalit Keowmani a/l Eh Sau 920210-02-5727, SPM2009 (7a, 2b) SM Sains Pokok Sena, Kedah - tercicir.

Turut tercicir dan gagal mendapat sebarang tempat ialah:
Phisnukh Uttraphan a/l Pim, 900904-03-5146 memperoleh keputusan 11A SPM 2007, antara pelajar paling cemerlang Maktab Sultan Ismail Kota Bharu.

Menurut bapa Phisnukh, Pim, 57, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Siam Kelantan, kegagalan itu telah menyebabkan anaknya hilang semangat untuk belajar. Beliau terpaksa pindahkan anaknya ke sekolah lain ke Tingkatan 6, kerana Phisnukh malu untuk menghadapi rakan sekolahnya.

Pim dari Kampung Terbak Kelantan berkata, pada pemerhatian beliau tiada seorang pun masyarakat Siam Malaysia yang mendapat keputusan cemerlang Peperiksaan SPM 2009 berjaya ke pusat-pusat matrikulasi atau ke IPTA.

''Kami masyarakat keturunan Siam, yang rata-rata ahli UMNO dan layak melabur dalam ASB dan dianggap bumiputera memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan persepsi negatif tentang dasar meritrokrasi dan 1Malaysia.

''Ini kerana pelajar dan ibu bapa masyarakat Siam mengetahui bahawa rakan pelajar bumiputera setingkatan dengan mereka yang mendapat keputusan kurang daripada 5A mendapat pelbagai tawaran sama ada ke program matrikulasi, IPTA atau program Asasi Sains.

''Sebagai kaum yang memiliki taraf ekonomi dan taraf pendidikan yang masih rendah (rata-rata terdiri daripada petani dan penoreh getah) saya memohon pihak kerajaan mempertimbangkan atau memberi kelonggaran bagi pelajar keturunan Siam untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam institusi kerajaan.

Dengar suara Perashot a/l Pom, 54, pula. ''Saya amat kecewa kerana anak saya Maleewan mendapat kelulusan 9A gagal ke kursus matrikulasi dan IPTA.

''Saya tidak mampu lagi menghantar anak saya ke IPTS memandangkan pendapatan saya agak rendah dan menanggung seorang lagi kakaknya yang masih belajar di tahun kedua IPTS," kata juruteknik dari Air Hitam, Kedah ini.

Walaupun anaknya gagal. Perashot masih menaruh harapan. ''Pihak berwajib tolong semak sama ada mereka terlepas pandang. Harap masalah anak saya mendapat perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia untuk masa depan adik-adiknya kemudian.

''Anak saya belajar bersungguh- sungguh harap kerajaan tidak mensia-siakan harapannya dan cita-cita untuk menjadi seorang doktor," katanya.

Dengar pula suara Vicsofee Sukahut a/p Som, 18, dari Kampung Huma, Jalan Wang Tepus, Jitra, Kedah. Beliau mendapat 8A1B.

''Saya tidak tahu apa yang perlu saya sebutkan lagi, semuanya gagal, terserah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia mempertimbangkan permohonan saya.

''Bukan irihati dan berhasrat dengki kepada sesiapa tetapi rakan saya yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang daripada saya hampir semuanya mendapat tempat di matrikulasi dan IPTA.

''Kadang-kadang saya tertanya apakah dosa saya dilahirkan sebagai rakyat berketurunan Siam di Malaysia. Kami sentiasa mendokong dasar kerajaan, penyokong setia kerajaan BN tetapi dalam pendidikan kami dipinggirkan malah boleh dianggap dianaktirikan.

''Saya berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan dan menggubalkan kembali dasar pengambilan masyarakat Siam di matrikulasi dan IPTA.

Kecemerlangan sepatutnya dihadiahkan imbuhan bukannya kekecewaan," kata bekas pelajar SMK Bandar Baru Darul Aman, Jitra ini.

Saya tergamam mendengar kata- kata gadis manis Vicsofee ini.

Saya juga tiada daya untuk membantunya dan rakan-rakan senasibnya yang cemerlang itu.

Kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan - Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia dan IPTA yang bersimpati untuk menyelamatkan potensi kanak-kanak itu.

Rencana ini ditulis oleh Zaini Hassan - http://bit.ly/cuit-zaini e-mail: zaini.hassan@utusan.com.my
Sumber: Utusan Malaysia, 26 Mei 2010.

Sunday, May 23, 2010

Politik Kedah: Spekulasi terjawab..


Baru-baru, suasana politik di Kedah agak kecoh berkaitan khabar angin mengatakan 4 orang lagi wakil rakyat PR akan melompat parti bagi memberi peluang BN menumbangkan kerajaan PR dalam waktu terdekat ini. Wakil rakyat yang disebut-sebutkan ialah En. S. Manikumar (ADUN Bukit Selambau), En. Lim Soo Nee (ADUN Kulim), En. Tan Choo Kang (ADUN Sidam) dan En. Lee Guan Aik (ADUN Kota Darulaman).

Spekulasi mengenai isu ini dibangkitkan oleh YB Zulkifli Nordin (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu) dan diperhebatkan oleh media arus perdana yang pro kepada BN. Tindakan YB Zulkifli juga disambut hangat oleh barisan kepimpinan UMNO di Kedah tanpa menilai tahap isu tersebut samada berkesan atau tidak bagi menggugatkan kepimpinan PR di Kedah.

YB Zulkifli Nordin adalah asalnya Ahli Parlimen mewakili PKR kerusi KAPAR Kulim – Bandar Baharu. Oleh kerana beliau lantang bersuara dan bercanggah dengan pendirian partinya sendiri iaitu PKR maka para pemimpin PKR menganggap YB Zulkifli ini sebagai duri dalam daging dan wajar disingkirkan. Akhirnya YB Zulkifli dipecat daripada parti PKR oleh Lembaga Disiplin parti. Kemudian, beliau bertindak lebih hebat lagi menentang PKR selaku wakil rakyat bebas.

Dewan Undangan Negeri Kedah mempunyai 36 kerusi. Antaranya PR mempunyai 20 kerusi (PAS 16, PKR 3 dan DAP 1) manakala BN 13 kerusi. Selebihnya 2 kerusi Bebas dan 1 kerusi lagi bermasalah iaitu DUN Kota Seputeh masih dalam proses penghakiman dan belum diputuskan oleh Mahkamah setelah Wakil Rakyatnya, Datuk Abu Hassan B. Sharif gagal hadir ke Persidangan DUN 2 penggal berturut-turut yang dianggap telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat kawasan tersebut berdasarkan perlembagaan negeri Kedah.

Baru-baru ini YB Zulkifli Nordin telah membuat kenyataan bahawa Perak Kedua akan wujud tidak lama lagi dan meminta sebuah kerajaan negeri (tanpa sebut nama) supaya bersiap sedia untuk menggelakkan situasi seumpama dengan membubarkan DUN. Lim Guan Eng membalas dengan menyatakan negeri yang dimaksudkan oleh Zulkifli ialah Kedah.

Maka pihak pemimpin UMNO Kedah mulalah memainkan isu ini dengan sehebat-hebatnya dengan menggunakan media mengatakan 4 orang wakil rakyat PR di Kedah akan melompat parti dalam waktu terdekat untuk memberi ruang untuk BN merampas kembali kerajaan negeri Kedah. Pihak kerajaan PR pula menuduh BN cuba membeli wakil rakyat PR untuk berpaling tadah dengan melompat parti.

Kerajaan PR juga sudah lama menghidu tindakan beberapa pemimpin BN cuba memujuk wakil rakyat PR sejak kerajaan BN tumbang semasa PRU12 lagi. Tindakan BN hanya berjaya menarik seorang wakil rakyat PR untuk melompat iaitu YB Mohd. Radhi Salleh (ADUN Lunas).

YB Mohd. Radhi Salleh bertindak berseorangan untuk meninggalkan kerajaan PR adalah kerana terdesak. Beliau telah didapati membuat tuntutan yang agak melampau semasa menjadi EXCO Kerajaan Negeri Kedah. Pihak kerajaan PR telah cuba mengambil tindakan terhadapnya. Untuk mencari perlindungan maka beliau terpaksa menerima perlawaan daripada pemimpin BN untuk melompat parti.

YB Tan Wui Shu (Bakar Arang) juga disenaraikan dalam senarai wakil rakyat PR yang cuba dipancing oleh BN. Pihak PKR sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan mencadangkan agar beliau digugurkan daripada barisan EXCO dalam rombakan barisan EXCO Kerajaan Kedah. Akhirnya beliau kecewa dan bertindak melompat parti mengikuti jejak YB Mohd Radhi B. Salleh.
Manakala seorang lagi ialah En. Arumugam (bekas ADUN Bukit Selambau) tidak tahan dengan karenah politik maka beliau bertindak meletakkan jawatan sebagai EXCO dan ADUN Bukit Selambau sehingga memaksa SPR mengadakan PRK Bukit Selambau dan keputusannya PKR Berjaya mengekalkan kerusi tersebut di mana YB S. Manikumar (PKR) menang dalam PRK tersebut.

Perancangan BN untuk menumbangkan kerajaan PR dengan melobi wakil rakyat PR untuk berpaling tadah hangat semula apabila YB Zulkifli membuat spekulasi ini. Akhirnya kerajaan PR bertindak mengadakan perhimpunan besar-besaran di Markas PAS Batu 10 dan menjemput 4 orang wakil rakyat yang disebut-sebutkan ingin melompat parti membuat penjelasan secara terbuka pada 22 Mei 2010 jam 10.00 malam. Kehadiran penyokong PR sekitar 20,000 orang

Akhirnya persoalan sudah terjawab, tiada seorang pun wakil rakyat PR akan melompat parti. Mereka menuduh media pro BN cuba membesar-besarkan isu ini. Pemimpin PR meminta agar BN dapat menghadapi kenyataan bahawa mereka sudah tumbang semasa PRU12. Berilah peluang mereka untuk mentadbir kerajaan mengikut acuan mereka sendiri.

Secara kesimpulannya, tindakan BN yang membesar-besarkan isu ini akhirnya memakan diri sendiri. Bukan sahaja tidak dapat melemahkan kerajaan PR malah telah mengukuhkan lagi kerajaan PR di Kedah.
Pihak BN haruslah memikirkan bagaimana untuk mengukuhkan lagi jentera BN bagi menghadapi PRU13 nanti. Dalam BN, wujud berbagai-bagai masalah yang tidak dipedulikan oleh barisan kepimpinan BN sendiri. Antaranya masalah kedudukan kerusi DUN Kota Seputeh yang dianggapkan oleh ramai pihak bahawa BN sengaja melengah-lengahkan masa sebab mereka sudah pasti akan kalah jika diadakan PRK dalam waktu terdekat.

Masalah seterusnya adalah kepimpinan BN negeri di mana Datuk Ahmad Bashah Hanafiah (ADUN Bakar Bata) adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri tetapi dalam DUN Kedah YB Datuk Sri Diraja Mahdzir Khalid (ADUN Pedu) sebagai Ketua Pembangkang. Umpama satu negeri mempunyai 2 ketua dalam barisan kepimpinan BN.

Masalah seterusnya ialah krisis kepimpinan UMNO setiap bahagian. Krisis ini ekoran perebutan jawatan dan imbuhan yang terhad. Sukar untuk mencari pemimpin yang betul-betul sayangkan parti seperti zaman semangat 46. Kebanyakkan mereka yang terlibat dalam politik adalah berniat untuk mengkayakan diri sendiri dan kroni sahaja. Oleh itu, persepsi pemimpin UMNO harus kita ubah sekiranya kita tidak mahu lihat UMNO kecundang dalam PRU13 nanti.

YB Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah telah menyatakan bahawa sekiranya ada seorang lagi wakil rakyat PR bertindak melompat parti beliau akan mengadap KDYMM Tuanku Sultan Kedah untuk membubarkan DUN dan serahkan mandat kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan kerajaan negeri. Beliau tidak ingin melihat krisis politik Perak berlaku di Kedah.

Sekiranya pembubaran DUN Kedah benar-benar berlaku, adakah barisan kepimpinan BN yang ada sekarang dapat merampas kembali kerajaan negeri Kedah daripada PR? Sedangkan BN sendiri mempunyai banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan ditambah pula krisis dalaman parti komponen lain seperti MIC dan MCA. Dalam krisis dalaman MCA juga parah sehingga Dr. Leong Yong Kong (ADUN Gurun) telah mengumumkan bercuti daripada politik MCA selama 1 tahun tetapi tidak meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat MCA.

Harapan semua pihak, agar kepimpinan BN bertindak mengatasi masalah dalaman terlebih dahulu dan seterusnya mengukuhkan lagi kepeimpinan BN bagi menghadapi PRU13 nanti. Jika BN kukuh, sudah pasti pengundi akan kembali menyokong BN dan kita yakin dapat menumbangkan kerajaan PR dalam PRU13 nanti.

Monday, May 17, 2010

Betul ke DUN Kedah dibubar?

Baru2 ni angin bertiup kencang di kalangan ahli politik di Kedah. Kononnya DUN Kedah akan dibubarkan dalam masa terdekat. Ekoran beberapa ADUN PR akan melompat keluar.

Antara ADUN yang disebut-sebutkan ialah YB S. Manikumar (Bukit Selambau), YB Tan Chow Kang (Sidam), YB Lim Soo Nee (Kulim) dan YB Lee Guan Aik (Kota Darulaman).

Takkan semudah itu DUN Kedah akan dibubarkan? Kerusi ADUN Kedah sebanyak 36 kerusi, Pakatan Rakyat 20 kerusi (PAS 16, PKR 3 dan DAP 1). Manakala BN sebanyak 13 kerusi. Selebihnya 2 kerusi ADUN katak yang baru lompat ke Bebas dan 1 lagi kerusi DUN Kota Seputeh yang masih belum selesai.

Ada juga aku dengar Shafie Afdal nak mengadap KDYMM Tuanku Sultan sekiranya Menteri Besar Kedah ingin membubarkan DUN Kedah. Mereka inginkan Kedah dijadikan sebagai Perak Kedua. Isu ini wujud gara-gara kenyataan YB Zulkifli Nordin yg menyatakan Perak Kedua akan wujud tidak lama lagi dan meminta sebuah kerajaan negeri (tanpa sebut nama) supaya bersiap sedia untuk mengelakkan situasi seumpama dengan membubarkan DUN.

Kenyataan YB Zulkifli ini pulak disambut oleh beberapa pemimpin BN Kedah. Apakah keistimewaan YB Zulkifli ini? Jadi ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu pun tidak pernah turun padang. Kalau dia bertanding semula sebagai MP di kawasan tersebut seperti cabaran MB Kedah, sudah pasti dia kalah sebelum bertanding.

Kenapa pemimpin BN Kedah menyambut pula idea yg tak seberapa ini? Nampak sangat pemimpin-pemimpin BN Kedah sendiri tiada idea yang lebih bagus untuk membawa isu bagi melemahkan jentera Pakatan Rakyat di Kedah.

Berbalik semula kepada isu, betul ke DUN Kedah dibubar? Bila dilihat dari segi kesetiaan ADUN PAS terhadap partinya, aku rasa masih kukuh dan sukar untuk digugatkan. Manakala calon PKR pula, kebanyakkan mereka asalnya daripada BN. Mereka lompat parti ekoran gagal mendapat imbuhan yang diharapkan. Mereka ini langsung tidak setia kepada parti. Semua orang tahu kenapa YB Radzi dan YB Tan bertindak keluar parti. Walau bagaimana pun Pakatan Rakyat masih kukuh lagi dengan jumlah 20 kerusi drp 36 kerusi.

Sementara BN pula mempunyai 14 kerusi sebelum ini. Sekarang tinggal 13 kerusi selepas DUN Kota Seputeh diistiharkan kosong oleh Mahkamah. Mahkamah Rayuan telah membenarkan penangguhan pelaksanaan PRK DUN Kota Seputeh. Tetapi sampai bila? Sampai sekarang masih belum diadakan PRK DUN Seputeh.

Nampak sangat BN melengah-lengahkan masa untuk mengadakan PRK DUN Kota Seputeh sebab mereka tahu akan kalah kepada PAS. Aku rasa ini bukannya akibat kelewatan mahkamah. Jika dibandingkan kes berkaitan MB Perak, Mahkamah Rayuan boleh bersidang dalam tempoh tak sampai 24 jam bagi membatalkan pengistiharan YB Nizar sebagai MB Perak yang sah.

Tambahan pula krisis ADUN Gurun yang bercuti daripada menjadi ahli MCA selama 1 tahun. Ini menunjukkan bahawa parti BN lah yang mempunyai masalah. PRK Hulu Selangor dan Sibu menunjukkan BN kurang mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi Cina. Keadaan ini boleh menggugatkan BN sekiranya masih berlaku krisis dalaman parti kompenen BN seperti MCA dan MIC.

Parti UMNO sendiri juga masih mempunyai masalah dalaman di setiap bahagian. Jika betul2 DUN Kedah dibubarkan, bolehkah UMNO merampas kembali Kedah daripada Pakatan Rakyat yang masih memegang kuasa kerajaan negeri selepas pembubaran sehingga PRK DUN Kedah selesai diadakan.

Jika 4 orang wakil rakyat yg disebut-sebutkan di atas bertindak melompat ke parti bebas. PAS masih mempunyai 16 kerusi berbanding BN 13 kerusi.

Satu persoalan lagi, adakah KDYMM Tuanku Sultan Kedah boleh dipengaruhi oleh BN untuk menghalang daripada pembubaran DUN Kedah sekiranya perkara ini benar2 berlaku? Siapakah yang sanggup tidur ditengah-tengah jalan untuk menghalang kereta KDYMM Tuanku Sultan Kedah seperti apa yg berlaku di Perak?

Di Kelantan, suatu ketika walaupun pernah mempunyai kelebihan 1 kerusi berbanding BN, PAS masih kekal memegang kuasa kerajaan negeri sehingga ke penghujung penggal. Mustahil DUN Kedah akan dibubarkan dalam waktu terdekat ini. Ini hanya spekulasi yang kurang berbisa untuk melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah.

Jangan bagi orang nampak BN Kedah kekurangan pemimpin yang berkualiti sehingga sanggup angguk kepada YB Katak. BN perlu mempunyai strategik jangka panjang untuk memenangi hati rakyat Kedah kembali menyokong BN. Jangan asyik ikut telunjuk orang lain tanpa usul periksa. Isu yang kita bawa, kalau tak betul2 kuat ia akan memakan diri sendiri seperti isu soalan persidangan DUN yg berkaitan Sultan baru-baru ini.

Adakah pengundi Sibu silap memilih wakil rakyat?

Pilihanraya kecil Sibu telah berjaya diadakan dan keputusannya calon DAP telah menang dengan menewaskan calon SUPP (BN). Keputusannya Wong Ho Leng (DAP) 18,845, Robert Lau Hui Yew (SUPP) 18,447 dan Narawi Harun (Bebas) 232. Wong Ho Leng (DAP) menang dengan majoriti 398 undi di kubu kuat BN.

Adakah pengundi Sibu silap memilih wakil rakyat mereka? Aku rasa tidak. Dalam dunia yang semakin maju dan sistem komunikasi semakin canggih, pengundi pun semakin cerdik dari segi pemikirannya. Maka mana2 pihak pun tidak boleh lagi memperbodohkan pengundi2 generasi sekarang.

Kenapa mereka tetap memilih DAP sedangkan berjuta2 RM ditaburkan beserta dengan beberapa janji2 lagi projek pembangunan dengan nilai berjuta2 RM di kawasan mereka? Mereka tidak menolak habuan yang dihulurkan untuk pembangunan di kawasan mereka tetapi keputusan untuk mengundi adalah hak mereka, tiada siapa yang boleh memaksa.

PRK Hulu Selangor BN dah menang tetapi undi daripada pengundi Cina merosot. PRK Sibu pula parti DAP yg didominasi oleh kaum Cina memenangi PRK tersebut. Ini sudah jelas bahawa pengundi Cina sudah tidak lagi menyokong BN. Apakah sebabnya? Adakah kaum Cina teraniaya dengan dasar yang dibawa oleh BN selama ini? Adakah BN hanya lebih mementingkan kaum Melayu sahaja dan meminggirkan kaum lain? Inilah persoalan yang wajar difikirkan oleh pemimpin BN untuk menghadapi PRU ke 13.

Kewujudan Perkasa iaitu NGO terbesar mewakili kaum Melayu juga sedikit sebanyak menguriskan perasaan kaum lain akibat kelantangan pemimpinnya yg dianggap bersikap perkauman.

Sementara Pakatan Rakyat pula begitu lantang berkempen memerangi rasuah tetapi BN terang-terangan menabur duit dengan melaksanakan projek "Mee Segera" dengan nilai berjuta2 RM semasa PRK di Hulu Selangor dan Sibu dengan alasan untuk pembangunan kawasan tersebut bukannya rasuah politik. Adakah orang ramai percaya dengan alasan tersebut?

Apa-apa pun teknik yg digunakan oleh BN kemungkinan akan memakan diri sendiri semasa PRU ke 13. Aku amat risau sekali sekiranya kemenangan BN hanya bergantung kepada duit rakyat dan juga jentera kerajaan sahaja dalam kempen mereka. Nampak sangat BN tak ada pemimpin yang berkualiti seperti zaman dulu.

Di mana zaman dulu, kebanyakan pemimpin BN adalah daripada kalangan guru-guru, kakitangan kerajaan, golongan bangsawan dan banyak lagi golongan profesional. Zaman sekarang golongan profesional dalam perkhidmatan kerajaan tidak dibenarkan berpolitik. Hanya tinggal para kontraktor yang terlibat dalam politik hanya untuk mendapatkan projek sahaja.

Sementara pemimpin Pakatan Rakyat terdiri daripada Doktor2, peguam2, pesara kerajaan dan ramai lagi golongan profesional lain.

Cepatlah bertindak sebelum terlambat.

Gambar sebelah: Salah seorang pengundi Sibu menunjukkan duit RM70 dan Kad Pengenalannya kepada reporter/blogger, beliau mendakwa bahawa ada pihak cuba membeli undi daripadanya.

Wednesday, May 5, 2010

Isu hina sultan yang dibawa UMNO kurang menyengat.


Isu hina Sultan yang digembar-gemburkan oleh UMNO terhadap YB Mohd. Nasir, ADUN Kubang Rotan kurang menyengat dan boleh memakan diri. Nampaknya UMNO kekurangan pemikir yang hebat bagi memainkan isu untuk menggugatkan kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah bagi menarik kembali sokongan rakyat terhadap UMNO.

Malah pada pendapat aku, memainkan isu menghina KDYMM Tuanku Sultan oleh UMNO akan memakan diri sendiri. Aku bukannya menyebelahi mana-mana pihak tapi pada pengamatan aku memang UMNO silap langkah dengan mensensasikan isu ini yang boleh memberi kredit kepada PAS. UMNO akan semakin dibenci oleh rakyat kerana memperalatkan isu Sultan untuk tujuan politik.

Soalan yang dikemukakan oleh YB Mohd Nasir Mustafa, ADUN Kubang Rotan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 26 April 2010 berbunyi begini:-

a) Sejauhmanakah bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat. dan

b) Setakat manakah tahap tidak boleh campurtangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam, nyatakan perkara tidak boleh tersebut.

Isu ini hebat dimainkan dalam media-media massa oleh UMNO. UMNO menuduh YB Mohd. Nasir (ADUN PAS) menghina KDYMM Tuanku Sultan Kedah. Mereka juga mengerahkan NGO-NGO membuat demontrasi, tunjuk perasaan, membuat laporan polis dan menghantar Memorundum kepada Agong, kononnya ADUN PAS menghina KDYMM Tuanku Sultan Kedah.

Aku yang tak mengaji tinggi-tinggi macam depa pun, aku tak nampak soalan tersebut menghina Sultan. Soalan itu ditanya sekadar ingin mendapat penjelasan sahaja bukannya menghina atau mempertikaikan kuasa Sultan selaku Ketua Agama Islam Negeri Kedah.

Menurut YB Mohd Nasir, isu sebenarnya yang menyebabkan beliau memajukan soalan tersebut ialah berlakunya campurtangan kerajaan Pusat dalam urusan perlantikan/pemecatan Imam dan pegawai2 Masjid serta juga campurtangan dalam proses pengagihan zakat di negeri Kedah. Di mana semua tindakan oleh Jabatan Agama Islam Kedah adalah di atas Pekenan KDYMM Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam.

Aku berani katakan UMNO tidak pandai membuat percaturan politik sehingga tindakannya boleh memakan diri sendiri. Sepatutnya UMNO harus menjelaskan tentang isu campurtangan kerajaan Pusat dalam urusan dibuat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Kedah seperti yang didakwa oleh PAS.

Aku harap UMNO jangan leka, PRU 13 dah tak lama lagi akan menjelma. Harapan aku agar Tsunami yang melanda semasa PRU 12 tidak akan berulang lagi. Aku ni nasihat secara baik. Nak terima atau tidak terpulanglah. Empat roda yang sentiasa bergerak tak semestinya sentiasa berada di bawah, jika silap langkah ia juga boleh berada di atas.