Oleh: Kamarul Ariffin Md Yassin
BERNAMA

Pentadbiran Kerajaan Kedah kini semakin berkecamuk apabila sebilangan
pemimpin parti yang menerajui kerajaan negeri mengisytiharkan perang
terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai tadbir Kerajaan Kedah
(KCS).
Indah khabar daripada rupa slogan "Kedah Sejahtera" yang diuar-uarkan
kerajaan negeri, Kedah sebenarnya tidak pernah sejahtera dalam erti kata
sebenar sejak pakatan parti pembangkang merampas negeri ini daripada
Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2008.
Satu demi satu masalah timbul dalam pentadbiran yang diketuai Menteri
Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Masalah yang pada mulanya hanya
berkisar mengenai perbezaan pendapat antara parti pakatan iaitu PAS,
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kemudian merebak kepada masalah
perbalahan sesama pemimpin dalam parti.
Paling jelas pada awal tahun ini, masalah "perbezaan pendapat yang
ketara" timbul antara Azizan, yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, dengan
Timbalan Pesuruhjaya 1 Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Pesuruhjaya 2 Dr
Ismail Salleh, sehingga kedua-duanya enggan dilantik semula sebagai
Exco.
Masalah itu, yang memaksa campur tangan PAS Pusat, berjaya "didiamkan"
walaupun hakikatnya "perbezaan pendapat" terus berlaku selepas
Phahrolrazi dan Dr Ismail menerima pelantikan semula Exco, dengan
portfolio kurang mencabar.
Kini timbul satu lagi masalah apabila pemimpin akar umbi PAS dan PKR
dilihat seolah-olah mengisytiharkan "perang" terhadap pegawai-pegawai
kerajaan negeri Kedah, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Ramai berpendapat kerajaan Kedah kini lumpuh apabila pemimpin utama
berbalah sesama sendiri manakala pemimpin akar umbi pula bermusuh dengan
pegawai kanan kerajaan negeri sehingga ke tahap mahu menentukan sendiri
pegawai kerajaan di kawasan masing-masing.
"Perang" antara pemimpin akar umbi dengan pegawai kerajaan negeri sudah
lama berlaku tetapi kini semakin buruk apabila Setiausaha Kerajaan
Negeri Datuk Rasli Basir menjadi sasaran Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu
(MDKP).
Tindakan Rasli menukar Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu Ahmad
Fisol Md Nor mendapat bantahan beberapa ahli Majlis Daerah, yang
mengadakan demonstrasi di hadapan Wisma Darul Iman bulan lepas.
Tidak cukup dengan itu, pada Isnin lepas mereka meletakkan sepanduk dan
poster supaya Rasli meletakkan jawatan atau digantikan. Kumpulan itu
mendakwa Rasli menyalahgunakan kuasa untuk memindahkan Ahmad Fisol
sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda.
Ahmad Fisol, yang dilantik sebagai Pegawai Daerah Kubang Pasu pada
November tahun lepas, dipindahkan ke Kuala Muda bulan lepas dan
digantikan dengan Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani.
Perpindahan Ahmad Fisol itu menyebabkan beliau bukan lagi Yang Dipertua
MDKP, jawatan yang secara automatik turut disandang sesiapa yang
memegang jawatan Pegawai Daerah Kubang Pasu.
Azizan dalam satu sidang media selepas mesyuarat Exco minggu lepas
berkata pertukaran Ahmad Fisol itu dilakukan mengikut prosedur dan tiada
sebarang kesalahan dalam pertukaran itu.
Seorang pegawai kanan kerajaan negeri yang enggan namanya disiarkan
berkata pertukaran tempat bertugas bagi KCS adalah perkara biasa dan hal
yang melibatkan pegawai daerah adalah kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri.
Selain itu, pelantikan pegawai daerah, yang ada di antara mereka turut
memegang jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah, mendapat perkenan Sultan
Kedah.
Masalah serupa pernah timbul tahun lalu apabila sekumpulan 17 anggota
Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) menyerahkan memorandum kepada
Azizan membantah tindakan Yang Dipertua MPSPK Rozaina Radzi dan
setiausaha majlis itu, Radzuan Osman, merobohkan gerai-gerai haram di
Jalan Cinta Sayang di bandar itu.
Mereka meminta kedua-duanya ditukarkan ke jabatan lain. Apabila
tindakan mereka itu tidak dilayan, 17 ahli majlis berkenaan bertindak
memboikot semua mesyuarat MPSPK.
Mengulas kemelut berkenaan, penganalisis politik Prof Madya Dr
Sivamurugan Pandian berkata ahli majlis tidak sepatutnya campur tangan
dalam pelantikan pegawai kerajaan.
Katanya ideologi politik ahli-ahli majlis tidak boleh mempengaruhi
keputusan dalam menentukan kedudukan pegawai kerajaan kerana ia
melanggar norma dan mempunyai kepentingan sendiri.
"Saya tak pernah dengar keadaan seperti ini (ahli majlis boleh
menentukan pegawai yang akan bekerjasama dengan mereka). Jika dibenarkan
akan menimbulkan keadaan tidak menentu yang melibatkan majoriti
rakyat," katanya.
Beliau berkata pelantikan pegawai kerajaan melibatkan banyak pihak termasuk Sultan Kedah dan perlu mematuhi prosedur sedia ada.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md
Hanipah berkata parti pembangkang boleh dianggap cuba mencampuri
pentadbiran kerajaan Kedah apabila mendesak tindakan diambil terhadap
Rasli.
Ahmad Bashah berkata Rasli sebagai pegawai kerajaan, melakukan apa yang
terbaik bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan, serta memastikan
kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.
"Apa yang mereka hendak bisingkan sangat? Pertukaran pegawai kerajaan
adalah perkara biasa dalam pentadbiran. Siapa mereka hendak beritahu
Setiausaha Kerajaan Negeri, yang orang ini boleh tukar dan orang itu
tidak boleh tukar?
"Tidak perlu sesiapa campur tangan urusan pegawai kerajaan negeri,
biarkan pegawai kerajaan laksanakan tugas mereka dengan penuh
profesional," katanya sambil menyatakan bahawa tindakan mengadakan
demonstrasi dan bantahan mengecam seorang pegawai kerajaan negeri tidak
pernah berlaku sebelum ini.
Sumber: http://portalumnokedah.blogspot.com/2012/10/tentangan-pembangkang-terhadap-kcs.html