Sunday, May 23, 2010

Politik Kedah: Spekulasi terjawab..


Baru-baru, suasana politik di Kedah agak kecoh berkaitan khabar angin mengatakan 4 orang lagi wakil rakyat PR akan melompat parti bagi memberi peluang BN menumbangkan kerajaan PR dalam waktu terdekat ini. Wakil rakyat yang disebut-sebutkan ialah En. S. Manikumar (ADUN Bukit Selambau), En. Lim Soo Nee (ADUN Kulim), En. Tan Choo Kang (ADUN Sidam) dan En. Lee Guan Aik (ADUN Kota Darulaman).

Spekulasi mengenai isu ini dibangkitkan oleh YB Zulkifli Nordin (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu) dan diperhebatkan oleh media arus perdana yang pro kepada BN. Tindakan YB Zulkifli juga disambut hangat oleh barisan kepimpinan UMNO di Kedah tanpa menilai tahap isu tersebut samada berkesan atau tidak bagi menggugatkan kepimpinan PR di Kedah.

YB Zulkifli Nordin adalah asalnya Ahli Parlimen mewakili PKR kerusi KAPAR Kulim – Bandar Baharu. Oleh kerana beliau lantang bersuara dan bercanggah dengan pendirian partinya sendiri iaitu PKR maka para pemimpin PKR menganggap YB Zulkifli ini sebagai duri dalam daging dan wajar disingkirkan. Akhirnya YB Zulkifli dipecat daripada parti PKR oleh Lembaga Disiplin parti. Kemudian, beliau bertindak lebih hebat lagi menentang PKR selaku wakil rakyat bebas.

Dewan Undangan Negeri Kedah mempunyai 36 kerusi. Antaranya PR mempunyai 20 kerusi (PAS 16, PKR 3 dan DAP 1) manakala BN 13 kerusi. Selebihnya 2 kerusi Bebas dan 1 kerusi lagi bermasalah iaitu DUN Kota Seputeh masih dalam proses penghakiman dan belum diputuskan oleh Mahkamah setelah Wakil Rakyatnya, Datuk Abu Hassan B. Sharif gagal hadir ke Persidangan DUN 2 penggal berturut-turut yang dianggap telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat kawasan tersebut berdasarkan perlembagaan negeri Kedah.

Baru-baru ini YB Zulkifli Nordin telah membuat kenyataan bahawa Perak Kedua akan wujud tidak lama lagi dan meminta sebuah kerajaan negeri (tanpa sebut nama) supaya bersiap sedia untuk menggelakkan situasi seumpama dengan membubarkan DUN. Lim Guan Eng membalas dengan menyatakan negeri yang dimaksudkan oleh Zulkifli ialah Kedah.

Maka pihak pemimpin UMNO Kedah mulalah memainkan isu ini dengan sehebat-hebatnya dengan menggunakan media mengatakan 4 orang wakil rakyat PR di Kedah akan melompat parti dalam waktu terdekat untuk memberi ruang untuk BN merampas kembali kerajaan negeri Kedah. Pihak kerajaan PR pula menuduh BN cuba membeli wakil rakyat PR untuk berpaling tadah dengan melompat parti.

Kerajaan PR juga sudah lama menghidu tindakan beberapa pemimpin BN cuba memujuk wakil rakyat PR sejak kerajaan BN tumbang semasa PRU12 lagi. Tindakan BN hanya berjaya menarik seorang wakil rakyat PR untuk melompat iaitu YB Mohd. Radhi Salleh (ADUN Lunas).

YB Mohd. Radhi Salleh bertindak berseorangan untuk meninggalkan kerajaan PR adalah kerana terdesak. Beliau telah didapati membuat tuntutan yang agak melampau semasa menjadi EXCO Kerajaan Negeri Kedah. Pihak kerajaan PR telah cuba mengambil tindakan terhadapnya. Untuk mencari perlindungan maka beliau terpaksa menerima perlawaan daripada pemimpin BN untuk melompat parti.

YB Tan Wui Shu (Bakar Arang) juga disenaraikan dalam senarai wakil rakyat PR yang cuba dipancing oleh BN. Pihak PKR sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan mencadangkan agar beliau digugurkan daripada barisan EXCO dalam rombakan barisan EXCO Kerajaan Kedah. Akhirnya beliau kecewa dan bertindak melompat parti mengikuti jejak YB Mohd Radhi B. Salleh.
Manakala seorang lagi ialah En. Arumugam (bekas ADUN Bukit Selambau) tidak tahan dengan karenah politik maka beliau bertindak meletakkan jawatan sebagai EXCO dan ADUN Bukit Selambau sehingga memaksa SPR mengadakan PRK Bukit Selambau dan keputusannya PKR Berjaya mengekalkan kerusi tersebut di mana YB S. Manikumar (PKR) menang dalam PRK tersebut.

Perancangan BN untuk menumbangkan kerajaan PR dengan melobi wakil rakyat PR untuk berpaling tadah hangat semula apabila YB Zulkifli membuat spekulasi ini. Akhirnya kerajaan PR bertindak mengadakan perhimpunan besar-besaran di Markas PAS Batu 10 dan menjemput 4 orang wakil rakyat yang disebut-sebutkan ingin melompat parti membuat penjelasan secara terbuka pada 22 Mei 2010 jam 10.00 malam. Kehadiran penyokong PR sekitar 20,000 orang

Akhirnya persoalan sudah terjawab, tiada seorang pun wakil rakyat PR akan melompat parti. Mereka menuduh media pro BN cuba membesar-besarkan isu ini. Pemimpin PR meminta agar BN dapat menghadapi kenyataan bahawa mereka sudah tumbang semasa PRU12. Berilah peluang mereka untuk mentadbir kerajaan mengikut acuan mereka sendiri.

Secara kesimpulannya, tindakan BN yang membesar-besarkan isu ini akhirnya memakan diri sendiri. Bukan sahaja tidak dapat melemahkan kerajaan PR malah telah mengukuhkan lagi kerajaan PR di Kedah.
Pihak BN haruslah memikirkan bagaimana untuk mengukuhkan lagi jentera BN bagi menghadapi PRU13 nanti. Dalam BN, wujud berbagai-bagai masalah yang tidak dipedulikan oleh barisan kepimpinan BN sendiri. Antaranya masalah kedudukan kerusi DUN Kota Seputeh yang dianggapkan oleh ramai pihak bahawa BN sengaja melengah-lengahkan masa sebab mereka sudah pasti akan kalah jika diadakan PRK dalam waktu terdekat.

Masalah seterusnya adalah kepimpinan BN negeri di mana Datuk Ahmad Bashah Hanafiah (ADUN Bakar Bata) adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri tetapi dalam DUN Kedah YB Datuk Sri Diraja Mahdzir Khalid (ADUN Pedu) sebagai Ketua Pembangkang. Umpama satu negeri mempunyai 2 ketua dalam barisan kepimpinan BN.

Masalah seterusnya ialah krisis kepimpinan UMNO setiap bahagian. Krisis ini ekoran perebutan jawatan dan imbuhan yang terhad. Sukar untuk mencari pemimpin yang betul-betul sayangkan parti seperti zaman semangat 46. Kebanyakkan mereka yang terlibat dalam politik adalah berniat untuk mengkayakan diri sendiri dan kroni sahaja. Oleh itu, persepsi pemimpin UMNO harus kita ubah sekiranya kita tidak mahu lihat UMNO kecundang dalam PRU13 nanti.

YB Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah telah menyatakan bahawa sekiranya ada seorang lagi wakil rakyat PR bertindak melompat parti beliau akan mengadap KDYMM Tuanku Sultan Kedah untuk membubarkan DUN dan serahkan mandat kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan kerajaan negeri. Beliau tidak ingin melihat krisis politik Perak berlaku di Kedah.

Sekiranya pembubaran DUN Kedah benar-benar berlaku, adakah barisan kepimpinan BN yang ada sekarang dapat merampas kembali kerajaan negeri Kedah daripada PR? Sedangkan BN sendiri mempunyai banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan ditambah pula krisis dalaman parti komponen lain seperti MIC dan MCA. Dalam krisis dalaman MCA juga parah sehingga Dr. Leong Yong Kong (ADUN Gurun) telah mengumumkan bercuti daripada politik MCA selama 1 tahun tetapi tidak meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat MCA.

Harapan semua pihak, agar kepimpinan BN bertindak mengatasi masalah dalaman terlebih dahulu dan seterusnya mengukuhkan lagi kepeimpinan BN bagi menghadapi PRU13 nanti. Jika BN kukuh, sudah pasti pengundi akan kembali menyokong BN dan kita yakin dapat menumbangkan kerajaan PR dalam PRU13 nanti.

No comments:

Post a Comment