Sunday, July 25, 2010

Suara akar umbi menentukan kepimpinan.


Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani telah diadakan di Sungai Petani Inn pada 11 Julai 2010. Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh YB Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat tersebut telah berlaku kekecohan apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan Ali Yahaya, Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani untuk berucap di majlis perasmian.

Kekecohan hampir 45 minit itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi selepas bacaan doa dan nyanyian Negaraku, apabila seorang anggota jawatankuasa bahagian, Mohd Yusuf Lazim bangun menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Ali dan mahu beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian.

Keadaan bertambah kecoh apabila lebih ramai perwakilan bangun termasuk anggota Wanita meminta Ali berundur sehingga menyebabkan pertikaman lidah antara perwakilan dengan penyokong Ali.Malah Naib Ketua Bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan Ketua Puteri Sungai Petani, Shahanim Mohd Yusof yang berada di atas pentas turut turun menyertai perwakilan meminta Ali berundur.Bekas Setiausaha Umno Bahagian Sungai Petani, Mohd Akhir Shafie mendakwa lebih 60 peratus daripada perwakilan yang hadir mahu Ali melepaskan jawatan.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Datuk Abd Azeez Abd Rahim (Ahli Majlis tertinggi UMNO), Datuk Mohd Rauf Yusof (Setiausaha Kerja UMNO) dan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (Ahli Majlis Tertinggi UMNO) untuk memantau mesyuarat tersebut.

PUNCA MASALAH

UMNO Bahagian Sungai Petani mempunyai 130 cawangan, sebanyak 10 cawangan daripadanya tidak dapat mengadakan mesyuarat dan satu cawangan dibubarkan kerana berpunca daripada Ali Yahaya.

Ali Yahaya dikatakan tidak berusaha untuk memujuk dan menyatupadukan semula antara kumpulan yang menang dan kalah dalam pemilihan parti yang lalu.

Ali Yahaya tidak mempunyai sebarang jawatan dalam UMNO Bahagian Sungai Petani sebelum bertanding dan menang jawatan Ketua Bahagian menyebabkan ramai ahli UMNO peringkat akar umbi tidak puashati.

Ali Yahaya dikatakan menimbulkan pelbagai kesulitan kepada kepimpinan parti termasuk tindakannya tidak disenangi banyak pihak dan agensi kerajaan.

Corak pentadbiran Ali yahaya dikatakan “lebih suka mengarah dan keras” menyebabkan pemimpin akar umbi terpanggil untuk memperbaiki keadaan tersebut.

KEPUTUSAN MAJLIS TERTINGGI UMNO

Majlis Tertinggi UMNO memutuskan supaya pengurusan bahagian Sungai Petani diambil alih oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

No comments:

Post a Comment