Tuesday, March 2, 2010

Demontrasi Bantahan Cadangan MB Kedah.


ALOR SETAR, 2 Mac 2010: Penduduk Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Taman Wira, Mergong mendakwa lebih 100 penduduk membuat demonstrasi dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana tidak bersetuju dengan hasrat Kerajaan Negeri menyerahkan kepada bank untuk mengambil alih tugas kutipan sewa dan hutang tertunggak ansuran sewa beli rumah mereka.

Memorandum tersebut ditandatangani lebih 1,000 penduduk mewakili 2,500 penduduk Taman Wira diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhamad Sanusi Md. Nor oleh Pengerusi Rukun Tetangga Taman Wira, Ahmad Mashar Md. Isa pada jam 11 pagi di hadapan Wisma Darul Aman.

Muhammad Sanusi Md. Nor, Setpol kepada MB Kedah menyatakan hanya 30 orang sahaja yang mengadakan demonstrasi di hadapan Wisma Darul Aman yang diketuai oleh 2 orang ahli politik iaitu bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas MB Kedah dan anak bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

Punca Masalah

YAB Menteri Besar Kedah mencadangkan menyerahkan kepada bank untuk tugas kutipan sewa dan hutang tertunggak ansuran sewa PAKR dengan kadar sewa RM100 sebulan. Keengganan penyewa membayar sewa sejak tahun 1986 menyebabkan kerajaan menanggung tunggakan sebanyak RM23 juta seluruh negeri Kedah dan sebanyak RM6 juta dari PAKR Mergong.

Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri sudah berlembut dengan penduduk dengan melanjutkan tempoh bayar balik daripada 25 tahun kepada 30 tahun. Tetapi mereka masih degil untuk membayar sewa tersebut. Dalam perjanjian, selepas 10 tahun kadar bayaran sewa akan dinaikkan sebanyak 10% dari RM100 kepada RM120, tetapi ia tidak dinaikkan untuk beri peluang penduduk membayar mengikut jadual yang ditetapkan.

Terdapat seramai 1,970 penyewa unit-unit PAKR, sekiranya mereka membayar ikut jadual maka sekarang hutang mereka hanya tinggal lebih kurang RM8,000 sahaja lagi. Ada di kalangan mereka telah selesai membayar sewa dan geran rumah sudah diperolehi daripada pihak Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri.

Kandungan Memorandum

Memorandum mempunyai beberapa perkara antaranya ialah menuduh kerajaan negeri lari daripada tanggungjawab mewujudkan mekanisme berkesan untuk mengutip sewa. Mereka juga menyatakan kerajaan negeri bertindak zalim terhadap orang tua dan OKU.

Penyewa PAKR mohon agar kerajaan timbang semula dan jangan serahkan tugas kutipan sewa PAKR kepada pihak bank. Sebab pihak bank tidak boleh bertolak-ansur dan boleh menghalau mereka keluar daripada PAKR pada bila-bila masa. Sedangkan ramai penyewa PAKR berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membayar sewa tersebut. Mereka bersetuju agar pihak Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri sendiri melaksanakan tugas-tugas mengutip sewa dan hutang tersebut.

Apa Pandangan MB Kedah?

Kata YAB MB Kedah, “kita mahu buat lebih banyak rumah kos rendah untuk rakyat dengan bayaran yang diterima dari penghuni sekarang. Dengan RM23 juta, kita boleh bina lagi 1,277 unit rumah awam kos rendah… bayangkanlah berapa ramai yang boleh mendapat kemudahan asas ini, kalau depa semua faham… kalau 5 orang dapat berteduh di sebuah rumah, 6,388 orang akan dapat manfaat”.

Ulasan

Penyewa PAKR seharusnya menepati perjanjian sewa beli yang telah ditandatangani sejak tahun 1986. Mereka ini adalah golongan yang bernasib baik kerana berjaya mendapat rumah tersebut berbanding 23,000 orang lagi yang telah memohon PAKR dan masih menunggu dengan penuh harapan.

Tindakan penyewa yang enggan membayar sewa sehingga mencapai RM23 juta telah menafikan peluang orang lain untuk memiliki rumah PAKR. Tindakan demonstrasi tidak akan dapat mengatasi masalah ini kecuali penyewa itu sendiri sedia bayar balik hutang berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani. Tindakan mengingkari perjanjian akan memakan diri sendiri, apabila kes ini dibawa ke mahkamah.

No comments:

Post a Comment