Anak keduanya itu, Mohd Syazmin, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sik menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, kira-kira jam 10.30 malam setelah koma selama lebih 24 jam selepas kemalangan, petang Khamis.
Mohd Syazmin bersama abangnya, Mohd Syazwan, 18, tidak sedarkan diri selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandu anak sulung exco itu terbabas dipercayai cuba mengelak daripada bertembung sebuah lori dari arah yang bertentangan.Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dan badan manakala dua rakan yang bersama mereka ketika itu sekadar mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan pesakit luar di HSAH.
Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Ria Indah, Sungai Petani dari asrama SMKA Sik setelah dijemput oleh Mohd Syazwan kerana hari akhir persekolahan sempena cuti hari raya Aidilfitri."Saya reda dengan pemergian Syazmin," kata Dr Hamdan, ADUN Tanjung Dawai yang juga pengerusi jawatankuasa tetap belia dan sukan negeri, dengan sebak sebaik mengetahui anak lelakinya itu menghembuskan nafas terakhir.
Bagaimanapun, Mohd Syazwan yang masih tidak sedarkan diri di wad sama, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.Jenazah Mohd Syazmin dibawa pulang ke rumahnya pada kira-kira 12.45 malam semalam dan selamat dikebumikan pada jam 11.30 pagi ini di tanah perkuburan Islam Masjid Lama, Merbok.
Pihak kami mengucapkan takziah kepada Dr. Hamdan sekeluarga di atas kematian seorang anak yang sangat disayangi mereka.