"Paling sukar ialah untuk ubah pemikiran pelbagai pihak untuk terima transformasi yang dibawa dalam pentadbiran saya. Transformasi ini bukan perubahan tetapi yang diharapkan transformasi yang menuntut mereka keluar daripada zon selesa dan buat keputusan yang akan ubah nasib secara drastik. Ia perlukan keberanian" YAB DATO PADUKA MUKHRIZ TUN MAHATHIR
DATUK Mukhriz Mahathir mengangkat sumpah jawatan Menteri
Besar Kedah ke-10 pada 6 Mei 2013, setelah Barisan Nasional (BN) berjaya
menawan semula Kedah dalam PRU13 dengan memenangi 21 daripada 36 kerusi Dun.
Mukhriz yang juga Adun Ayer Hitam melantik lapan Exco dalam
melicinkan pentadbiran, di mana beliau memegang portfolio Perancang Ekonomi
Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis
Tindakan Negeri, Kewangan & Syarikat Milik Kerajaan Negeri.
Ikuti wawancara Datuk Mukhriz sempena 100 hari menjadi MB
Kedah:
Sebaik BN berjaya rampas kembali Kedah dalam PRU13, apakah
pendekatan yang diterapkan dalam pentadbiran untuk menawan kembali sokongan
rakyat?
Mukhriz: Kerajaan BN mengambil pendekatan berhemah sejurus
mengambil alih pentadbiran negeri, di mana kita mengambil alih pemerintahan
secara perlahan tanpa paksaan terhadap mana-mana pihak. Kita tidak drastik
dengan arahkan mana-mana individu meletak jawatan dalam kerajaan, tidak pernah
berdendam dengan pengurusan terdahulu. Saya juga memupuk hubungan baik dengan
pihak pembangkang, pada hari kedua dilantik sebagai Menteri Besar, saya
mengunjungi bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak di Kedah Medical
Centre (KMC) dan turut melawat beliau di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebanyak
tiga kali. Saya anggap ini tanggung jawab saya selaku Menteri Besar baru,
mewakili kerajaan negeri menghormati dan mengambil tahu kebajikan beliau. Saya
dapati pendekatan saya ini diterima baik semua pihak, sama ada Pas mahupun
Umno.
Bagaimana penerimaan awal terhadap Datuk sejurus peralihan
kuasa?
Mukhriz: Pendekatan sama juga saya terapkan dalam
pentadbiran mahupun perubahan di peringkat kerajaan negeri, saya tidak akan
lakukan perubahan drastik hingga mencetuskan rasa panik kakitangan khususnya
Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS). Apa jua perubahan dibuat dengan mengkaji
situasi semasa, sekiranya perlu. Malah dalam minggu pertama sejurus memegang
pentadbiran, saya adakan perjumpaan bersama KCS secara tertutup. Saya akui
kalangan KCS ada yang cenderung politik, ada memihak kepada Umno dan ada sokong
Pas. Itu hak individu, cuma satu pesanan saya, berkhidmat kepada setiap lapisan
masyarakat tanpa pilih kasih dan buang dendam kerana kita adalah pegawai
kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat. Kepada mereka yang tidak menyokong BN,
saya harap jangan cuba sabotaj kerajaan negeri, sama ada dengan melengahkan
kerja atau tidak luluskan permohonan atau enggan kerjasama dengan ketua
jabatan. Ia mudah dibuat namun beri impak negatif kepada negeri. Pendekatan
berhemah ini akan saya teruskan pada masa akan datang, kerana kita sudah lama
dibelenggu polemik politik yang memecahbelahkan masyarakat. Saya harap kedua
pihak akan main peranan masing-masing dan elakkan persengketaan agar tidak
jejas kepentingan rakyat.
Kedah sinonim dengan negeri pertanian dan boleh dikatakan
agak terbelakang berbanding negeri lain, apa perancangan awal Datuk untuk
pulihkan imej selain lonjakan prestasi ekonomi Kedah?
Mukhriz: Saya orang baru di sini dan tak anggap mempunyai
penyelesaian kepada semua masalah, terutama aspek ekonomi dalam membangunkan
Kedah. Saya juga tiada pengalaman dalam jawatan peringkat negeri sebelum ini,
malah saya akui hubungan dengan kerajaan negeri pun kurang rapat. Namun sebagai
orang baru, ada juga kelebihannya. Saya tidak dibelenggu masalah terdahulu,
saya datang dengan kacamata baru dan tak buruk sangka pada mana-mana pihak.
Perancangan awal saya mahu wujudkan Makmal Transformasi Kedah (MTK) untuk bawa
masuk pakar dalam pelbagai bidang dari dalam atau luar Kedah. Fikirkan strategi
bersama untuk bangunkan Kedah dan pilih sektor yang wajar diberi tumpuan,
contohnya, pertanian, pelancongan, industri automotif serta getah berteknologi
tinggi. Semua perkara ini sedang diperhalusi untuk menjadikan bandar raya ini
membangun pesat. Kita juga akan tinjau projek-projek jangka pendek, sederhana
dan panjang. Pada masa sama, tidak abaikan tanggungjawab sosial, di mana projek
yang dilaksanakan mesti memberi manfaat kepada seluruh rakyat Kedah. Untuk
jayakan aspirasi ini, aspek pembangunan modal insan juga diberi perhatian. Saya
mahu lihat anak Kedah berkemahiran tinggi dan menepati permintaan pasaran agar
mendapat faedah daripada pembangunan.
Apakah inti pati perancangan Makmal Transformasi Kedah
(MTK)?
Mukhriz: Perancangan ini meliputi jangka masa lima tahun,
dalam usaha kekalkan BN sebagai pemerintah. Kita juga ada jangka masa 10 dan 15
tahun. Melalui MTK, saya akan buktikan pada rakyat, ada yang boleh dilaksana
dalam tempoh sepenggal, ada untuk jangka masa panjang. Saya percaya apabila
rakyat pilih BN, itu harapan mereka terhadap kerajaan yang boleh membawa
kebaikan kepada rakyat. Kita perlu ada strategi berkesan selain berfikir di
luar kotak serta memiliki pelaksana yang efisien. Sistem penyampaian juga mesti
mantap untuk elak projek gajah putih atau sebarang penyelewengan.
Bagaimana pula dengan aspek sosial, budaya, warisan yang
banyak diwarisi negeri ini selaku negeri tertua di negara ini?
Mukhriz: Aspek itu juga tidak akan dilupakan. Kedah
sememangnya kaya dengan unsur sejarah, budaya dan warisan. Saya berhasrat untuk
hidupkan semula bagi tujuan pelancongan, selain mahu anak muda kita mengenali latar
belakang budaya sendiri. Dengan cara ini, mereka akan bangga menjadi anak Kedah
selain lebih jelas mengenai jati diri. Sekarang ramai anak Kedah berhijrah
untuk cari kerjaya yang menepati cita rasa, ini suatu kerugian. Selain wujudkan
peluang kerja dan niaga di sini, saya mahu pupuk rasa sayang golongan muda
terhadap negeri ini dan usaha akan dibuat dalam pelbagai cara, antaranya
memperhalusi sejarah negeri di peringkat sekolah. Saya juga berhasrat
kembalikan kegemilangan budaya Kedah, seperti persembahan Mek Mulung sebagai
tarikan baru. Aspek pembangunan pelancongan di Langkawi mahupun tanah besar
juga perlu ada ciri-ciri tersendiri untuk serlahkan identiti Kedah, contohnya,
Lembah Bujang.
Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, adakah BN berjaya
menunaikan sebahagian janji-janji dalam manifesto pada PRU13 lalu?
Mukhriz: Matlamat kerajaan negeri adalah untuk tunaikan
Akujanji BN, sama ada cepat atau lambat sahaja. Setiap yang disenaraikan sudah
diagih kepada Exco berkaitan mengikut portfolio masing-masing untuk
diperhalusi. Contohnya, aspek agama yang mahu perkasakan semula sekolah pondok
dan maahad tahfiz, di mana kita sudah salurkan dana. Kita juga akan bagi
keutamaan pada pembangunan Maktab Mahmud yang berjaya lahirkan ramai ilmuan
agama. Bagaimanapun, untuk projek ekonomi ia ambil masa, dan saya harap dalam
tahun pertama ini dapat lancarkan beberapa projek besar, seperti Bandaraya
Getah Kota Putra di Padang Terap. Kita sedang kenal pasti beberapa syarikat
pelabur berteknologi tinggi untuk projek itu. Pada 22-24 Ogos ini, saya akan
mengiringi Perdana Menteri ke Bangkok untuk jumpa Perdana Menteri Thailand,
untuk memperhalusi memorandum persefahaman yang ditandatangani itu.
Pembinaan litar lumba untuk golongan muda antara janji
manifesto yang menjadi tarikan, adakah ia akan menjadi kenyataan?
Mukhriz: Projek itu masih dalam perbincangan, saya sedang
berusaha untuk jalin kerjasama dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk merealisasikan
projek ini. Ini penting kerana mereka ada kepakaran termasuk acara peringkat
kebangsaan yang mungkin boleh memanfaatkan litar baru ini. Saya akan pastikan
projek ini dilaksana secepat mungkin.
Isu pembalakan dijadikan agenda sebelum PRU13, adakah Datuk
akan lebih selektif berikutan Datuk antara individu yang mendokong gerakan
hentikan pembalakan di Pedu melalui Jaringan Gelombang Merah sebelum ini?
Mukhriz: Saya kotakan janji di mana isu itu ditangani dengan
baik. Alasan kerajaan terdahulu untuk tebang balak tetapi berselindung di
sebalik bangunkan ladang buah di Pedu, sudah dihentikan. Kita hanya teruskan
pembalakan secara selektif untuk elak pencemaran alam sekitar. Ini yang kita
bangkitkan dalam Akujanji BN PRU13. Pembalakan dalam Tasik Pedu pernah
dibangkitkan oleh BN sebelum ini, namun ia perlu dikaji sama ada berbaloi untuk
diteroka atau sebaliknya. Pokok balak itu ditenggelami air dan ia tidak
menyumbang kepada ekosistem. Kayu bernilai tinggi itu tetap bertahan walau
terendam lama dalam tasik. Jika kos dapat dikawal ada kemungkinan kita akan
kaji. Kedah akan terus mempraktikkan amalan sebelum ini, di mana pembalakan
dibuat secara tender untuk tingkatkan pendapatan.
Kerajaan negeri berhasrat untuk lakukan transformasi ke arah
negeri berteknologi tinggi?
Mukhriz: Kedah sinonim dengan tanaman padi dan sudah selesa
dengan status itu, namun dari aspek struktur tidak memberi pulangan besar,
malah petani tidak beroleh hasil lumayan. Formula itu perlu diberi nafas baru,
adakah kita berani keluar dari zon selesa? Saya sedar peranan Kedah sebagai
pembekal makanan negara namun ia menjadi faktor menyekat pembangunan negeri.
Perlu cari satu formula baru untuk kedua-duanya tanpa korbankan mana-mana
aspek. Saya juga perlu yakinkan semua pihak untuk buat perubahan ini.
Adakah ini bermakna tanah sawah akan bertukar status tanah
industri?
Mukhriz: Kita masih ada tanah yang bukan tanah sawah untuk
dimajukan sebagai taman industri, seperti di Bukit Kayu Hitam, di mana 3,000
hektar sudah dikenal pasti. Perbincangan turut diadakan dengan Lembaga Kemajuan
Pertanian Muda (Mada) untuk kita bangunkan kawasan pinggiran Mada sekitar 8,000
hektar. Kita akan bangunkan Alor Setar sebagai Bandaraya Metropolis yang
menjadi tumpuan ilmuan dengan wujudnya universiti Penyelidikan dan Pembangunan
(R&D) berteknologi tinggi.
Bagaimana dengan dakwaan Selatan Kedah lebih maju berbanding
Utara Kedah?
Mukhriz: Perbezaan ini wujud kerana kawasan Selatan
mengambil manfaat kerancakan ekonomi Pulau Pinang. Saya akan wujudkan pembangunan
riadah di Selatan untuk tarik rakyat Pulau Pinang untuk melancong ke Kedah.
Bagi Utara yang juga kawasan sempadan juga berpotensi dimajukan, saya yakin
apabila projek Kota Putra dan Kota Perdana Bukit Kayu Hitam dibangunkan,
pertumbuhan ekonomi rancak. Kita akan wujudkan hab logistik untuk kumpul dan
edar produk PKS Kedah ke seluruh negara termasuk eksport ke Thailand. Kedah
Utara bakal alami fasa pertumbuhan pesat namun berbeza sektor dengan kawasan
Selatan.
Apakah perkara paling mencabar dalam tempoh 100 hari
mentadbir?
Mukhriz: Paling sukar ialah untuk ubah pemikiran pelbagai
pihak untuk terima transformasi yang dibawa dalam pentadbiran saya.
Transformasi ini bukan perubahan tetapi yang diharapkan transformasi yang
menuntut mereka keluar daripada zon selesa dan buat keputusan yang akan ubah
nasib secara drastik. Ia perlukan keberanian.
Apa yang dapat Datuk rumuskan sepanjang menerajui Kedah?
Mukhriz: Saya akui masih dalam proses pembelajaran dan
pengalaman di MITI banyak membantu. Setakat ini ia adalah perjalanan yang
menarik. Ada yang berkata, untuk menawan hati rakyat Kedah mudah sahaja iaitu
gunakan pendekatan mesra dan mudah berkomunikasi untuk menang PRU. Saya sudah
cuba tetapi ia tidak cukup, yang penting perlu tunaikan janji yang dibuat dalam
usaha tingkatkan taraf hidup rakyat. Ini keutamaan saya. Bukan mudah untuk
yakinkan orang untuk buat perubahan. Saya tidak mahu lihat Kedah terbelakang
lagi, saya mahu Kedah pesat membangun dan yakin ia boleh dilakukan. Saya akan
cari peluang terbaik dan teroka potensi Kedah, anda akan teruja dengan apa yang
kita ada kelak. Saya optimis dalam tempoh lima tahun, Kedah akan berubah wajah!