Tuesday, January 5, 2010

Berhati-hati mengatasi krisis penggunaan kalimah Allah.


Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan membenarkan majalah mingguan, Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya.

Lau Bee Lan, hakim Mahkamah Tinggi membenarkan penerbit majalah itu menggunakan kalimah 'Allah' selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur selaku pemohon.

Lan juga mengistiharkan bahawa keputusan KDN pada 7 Januari 2009 memberikan permit penerbitan kepada Herald dari tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2009 dengan syarat ia dilarang menggunakan perkataan 'Allah' adalah batal dan tidak sah.

Bagaimanapun, keputusan ini dibantah pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu Islam yang mengadakan perhimpunan secara aman di seluruh negara dan meminta campur tangan Majlis Raja-raja.

Aku harap semua pihak berhati-hati dalam mengatasi isu ini. Jangan terlampau mengikut emosi. Isu ini berkaitan agama yang amat sensitif terutamanya agama kristian dan Islam kerana kedua-dua agama ini berkonsepkan ketuhanan. Krisis tidak melibatkan penganut agama Buddha kerana agama Buddha tidak berkonsepkan ketuhanan.

Jika kita tidak berhati-hati, krisis ini boleh merebak dan kemungkinan besar menjadi isu perkauman di Malaysia yang boleh mencetuskan rusuhan kaum. Kita haruslah mengambil pendekatan berunding secara baik bagi mencari titik persamaan agar isu ini dapat diatasi dengan baik tanpa mencetuskan sentimen perkauman di kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang bangsa dan agama.

Jangan sesekali mempolitikkan isu ini. Biarlah pihak yang berkaitan sahaja bertindak untuk mencari jalan penyelesaian. Kita boleh guna isu lain untuk berpolitik tetapi isu berkaitan agama dipolitikkan akan mendatangkan kesan yang amat bahaya sekali.

Lebih baik kita ke meja rundingan untuk mengatasi masalah yang wujud di antara kaum dan agama. Jangan biarkan peristiwa 13 Mei berulang.

No comments:

Post a Comment