Sunday, November 22, 2009

Majlis Perundingan Koperasi ditubuh

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Sebanyak 222 Majlis Perundingan Koperasi Peringkat Parlimen bakal diwujudkan menjelang pertengahan tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kewujudan majlis itu bagi menggalakkan amalan berkoperasi di kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Selain itu, katanya, ia juga berupaya menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh koperasi-koperasi di semua kawasan Parlimen.

''Majlis itu bertujuan membantu kementerian dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperbanyakkan koperasi di peringkat akar umbi.

''Langkah ini selari dengan kempen yang akan kita mulakan awal tahun depan iaitu Mengkoperasikan Rakyat: Satu Komuniti Satu Koperasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Kebangsaan di sini hari ini.

Katanya, kesemua majlis koperasi peringkat Parlimen itu akan diberi peruntukan sebanyak RM20,000 sebagai permulaan bagi tujuan pentadbiran dan aktiviti mempromosikan penubuhan koperasi di kawasan terbabit.

Jelasnya, ia akan dianggotai oleh wakil-wakil koperasi, jabatan kerajaan dan SKM yang berada dalam sesuatu kawasan Parlimen itu.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, kementeriannya sedang berusaha memperkasakan aktiviti koperasi sekolah dengan menyeru badan tersebut supaya tidak hanya bergantung kepada penjualan barangan untuk murid-murid sahaja.

''Sejak kita meminta koperasi sekolah mempelbagaikan aktiviti perniagaan mereka, sebanyak 160 daripadanya di negara ini mula menjual busana sekolah dan sebanyak 330,354 unit pakaian itu telah ditempah sehingga hari ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, terdapat hanya 66 koperasi di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) daripada lebih 250 IPT di negara ini.

Tegasnya, bilangan itu hanya mewakili 30 peratus daripada IPT di negara ini dan ia merugikan kerana kebanyakan pelajar yang mempunyai pengalaman dalam bidang koperasi semasa di sekolah tidak dapat meneruskan bakat mereka itu.

Sumber: Mingguan Malaysia, 22.11.2009

Ini satu lagi peluang keemasan yang boleh direbut... Kerajaan menyediakan pelbagai ruang untuk rakyatnya.....

No comments:

Post a Comment