Sunday, November 22, 2009

UMNO Kedah jangan berpuak-puak..


Mohd. Mustafa dan khalid

ALOR SETAR 21 Nov. - Sesiapa pun yang dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah tidak akan dapat menyatupadukan parti itu jika pemimpin peringkat bahagian gagal bekerjasama.

Pensyarah politik di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd. Mustafa Ishak berkata, masalah berpuak-puak telah lama wujud di dalam UMNO Kedah dan ia hanya dapat ditangani jika pemimpin terlibat berhenti berbuat demikian.

Menurutnya, walaupun ada cadangan melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menerajui UMNO negeri itu bagi mengukuhkan parti, namun jika tiada perubahan sikap pemimpin terbabit, maka usaha itu sukar dilakukan.

“Dr. Mahathir memang calon yang layak kerana pengalaman luasnya dalam politik. Namun, jika tidak ada perubahan sikap di kalangan pemimpin bahagian, siapa juga yang dilantik untuk menerajui parti di negeri ini tidak akan mampu membawa perubahan kepada UMNO Kedah,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas kolum Cuit kelolaan Penolong Ketua Pengarang Kumpulan 1 Utusan Malaysia, Zaini Hassan yang mencadangkan supaya Dr. Mahathir menerajui UMNO Kedah sehingga pilihan raya umum akan datang atau sekurang-kurangnya UMNO negeri itu dapat distabilkan kembali.

Menurut Mohd. Mustafa, kekuatan UMNO sebenarnya terletak kepada kepimpinan bahagian kerana mereka yang mencorakkan hala tuju parti tersebut.

“Setiap bahagian UMNO perlu mewujudkan perpaduan serta membina kekuatan parti.

“Masalah UMNO adalah parti ini tidak mampu untuk menampilkan tenaga di peringkat bahagian sehingga berlaku sabotaj sesama sendiri hanya untuk mendapatkan kedudukan,” katanya.

Veteran UMNO Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah turut bersetuju dengan cadangan pelantikan Dr. Mahathir, namun perkara itu perlu dipersetujui oleh bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, apabila Dr. Mahathir dilantik menerajui UMNO Kedah, banyak masa yang perlu diluangkan beliau untuk memulihkan kembali parti itu.

“Saya bimbang jika hasil yang diinginkan untuk melihat UMNO kembali bersatu tidak menjadi kenyataan walaupun Dr. Mahathir menjadi penerajunya,” jelasnya.

Tambah Khalid, apa yang penting adalah pemimpin-pemimpin UMNO Kedah perlu mengorbankan diri demi parti bagi memastikan UMNO terus mendapat sokongan rakyat di negeri itu.

“Kita perlu korbankan nafsu dan kepentingan diri sendiri demi memastikan parti terus diterima. Pemimpin UMNO Kedah perlu segera melakukan pengorbanan ini kerana banyak masa telah terbuang kerana bersengketa,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 22.11.2009

No comments:

Post a Comment