Wednesday, December 9, 2009

Tarif elektrik, GST dan subsidi,.. apa cerita ni??

Baru-baru ini rakyat dikejutkan dengan pemansuhan subsidi gula oleh kerajaan mulai tahun 2011. Rata-rata rakyat tidak setuju kerana jika subsidi gula ditarik balik akan menyebabkan bukan saja gula naik harga malah barangan lain yang berasaskan gula juga akan naik harga.

Nasib baik kabinet telah memutuskan bahawa pemansuhan subsidi gula ditangguhkan. Maka rakyat menarik nafas lega terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

Kerajaan juga bercadang memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai tahun 2011. Rata-rata rakyat juga tidak setuju kerana membebankan mereka kerana kos hidup semakin meningkat sedangkan pendapatan masih ditahap lama. Golongan yang berpendapatan rendah amat terasa bahang daripada pelaksanaan cadangan ini.

Tidak cukup dengan pelaksanaan GST, kerajaan juga bercadang menaikkan tarif baru elektrik mulai januari tahun hadapan sekiranya ia diluluskan oleh kabinet, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata Tenaga Nasional Berhad telahpun mengemukakan permohonan untuk menaikkan tarif elektrik, namun kementerian masih membuat kajian mengenainya sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk diluluskan.

Rasanya bukan itu saja, malah ada banyak lagi cadangan-cadangan yang akan diperkenalkan bagi menjana kewangan kerajaan seolah-olah kerajaan mengalami kegawatan dari segi kewangan sehingga tidak mampu memberi bonus kepada kakitangannya pada tahun lepas dan juga pada tahun ini.

Kemungkinan besar semua cadangan yang akan diperkenalkan oleh kerajaan ini akan mendapat tentangan yang hebat daripada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah. Inikah hadiah yang kerajaan berikan kepada rakyat sempena menyambut tahun baru yang akan datang.

No comments:

Post a Comment