Thursday, December 10, 2009

Tindakan Nga biadap persoalan peruntukan masjid.


Nga Biadap Persoal Peruntukan Untuk Masjid: Ibrahim Ali

By: Ramjit-->

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyifatkan Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming sebagai biadap dan cuba menyalakan api dalam sekam apabila mengungkit perbelanjaan kerajaan membina masjid dan mendesak kerajaan memberi peruntukan lebih kepada rumah ibadat bukan Islam.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata Nga daripada DAP telah menyentuh hal ehwal agama Islam yang terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

"Dia boleh desak kerajaan beri peruntukan lebih untuk kegiatan agama lain tetapi dia tak boleh membandingkan peruntukan yang diberi oleh kerajaan untuk pembinaan masjid.

"Apabila itu berlaku apatah lagi dibuat di luar Parlimen maka ini sudah jadi hasutan selain satu kenyataan politik yang cuba menimbulkan pergaduhan agama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Rabu.

Ibrahim berkata tiada sesiapa pun yang berhak membangkitkan soal perbelanjaan yang diperuntukkan untuk membina masjid walaupun dengan tujuan untuk meminta peruntukan yang lebih bagi aktiviti agama lain.

Semalam, Nga mengeluarkan kenyataan mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008 sedangkan pada masa yang sama kerajaan gagal membina rumah ibadat bagi agama lain.

Ibrahim berkata jika kenyataan itu dibuat ketika perbahasan dalam Parlimen sekalipun, ianya dilarang kerana bukan semua perkara boleh dibangkitkan sewenang-wenangnya atas nama kekebalan Anggota Parlimen.

Katanya Perkasa akan mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu itu.

-- BERNAMA

Hebat sungguh Ibrahim Ali ni cari peluang memperkasakan Perkasa. Tindakan Nga Kor Ming ini agak biadap apabila mempersoalkan peruntukan pembinaan masjid untuk orang Islam. Ramai orang Melayu melenting dengan kenyataan tersebut. Tentu ada pihak akan mengambil tindakan terhadap kenyataan Nga, mungkin dituduh di bawah Akta Hasutan. Begitu juga dengan NGO-NGO lain di kalangan umat Islam selain Perkasa akan tampil menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap Nga.

Tetapi bagaimana pula pandangan orang-orang bukan Melayu. Tentu mereka inginkan pemimpin yang berani macam Nga Kor Ming ini. Memang selama ini tiada peruntukan kepada pembinaan rumah ibadat untuk penganut bukan Islam. Tetapi kerajaan haruslah adil kepada semua penganut agama di negara kita.
Kemungkinan besar perasaan tidak puashati kaum bukan Melayu sudah lama tertanam dalam perasaan tetapi tiada pemimpin yang berani bersuara. Tentu mereka akan mempertahankan pemimpin mereka yang berani bersuara memperjuangkan kemajuan bangsa mereka. .

Sebab itulah MCA ditolak oleh kaum Cina dan MIC ditolak oleh kaum India dalam PRU 12 kerana pemimpin-pemimpin tidak berani bersuara.

Apabila sama-sama ingin menunjukkan kekuatan dan kehebatan daripada mengadakan perbincangan secara bertolak ansur, saya khuatir negara kita akan huru-hara apabila kaum Melayu dan kaum bukan Melayu tidak boleh berkompromi untuk mengatasi masalah masing-masing. Tidak mustahil jika saya katakan Tragedi 13 Mei akan berulang sekiranya kita tidak berhati-hati apabila menyentuh tentang soal sensitiviti kaum di negara kita.

Walau bagaimana pun kenyataan Nga dianggap biadap oleh kaum Melayu dan dianggap pejuang oleh kaum bukan Melayu. Sama-samalah kita bertolak-ansur di antara satu sama lain supaya isu ini tidak berpanjangan sehingga menggugatkan ketenteraman awam. Janganlah terikut-ikut dengan perasaan dan emosi sehingga menjahanamkan sesebuah negara yang mempunyai berbilang kaum dan agama.

No comments:

Post a Comment